KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) — Festival Futureland yang julung kali diadakan menarik kehadiran hampir 20,000 pengunjung, menetapkan standard baharu untuk acara hiburan secara langsung dengan meraikan muzik Malaysia dan kreativiti sambil menghubungkan peminat melalui persembahan bertenaga dan pengalaman unik.
Diadakan di Stadium Merdeka yang bersejarah pada 23 Nov lepas, Festival Futureland yang dianjurkan oleh Warner Music Malaysia dengan kerjasama Watsons Malaysia mengubah lokasi ikonik itu yang dibangunkan semula, menjadi pusat persembahan muzik secara langsung yang meriah.
Festival itu menampilkan barisan artis terkenal dan pendatang baharu, menjadi platform dinamik untuk bakat tempatan, menghimpunkan pengunjung daripada pelbagai latar belakang dan berkongsi penghargaan terhadap muzik, budaya dan komuniti.